SKRIP ISTIADAT KONVOKESYEN UTHM 2019
This is the script that I prepared for my speech during convocation but never had the chance to present it. So here you go!
Salam sejahtera dan Salam Muafakat Johor
YANG
BERBAHAGIA PROFESOR DR. WAHID BIN RAZZALY
NAIB
CANSELOR UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA
PROFESOR
DR. ISMAIL BIN ABDUL RAHMAN
TIMBALAN
NAIB CANSELOR (AKADEMIK DAN ANTARABANGSA)
PROFESOR DR.
RUZAIRI BIN ABDUL RAHIM
TIMBALAN
NAIB CANSELOR (PENYELIDIKAN DAN INOVASI)
PROFESSOR
MADYA DR. AFANDI AHMAD
TIMBALAN NAIB CANSELOR (HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI)
AHLI-AHLI
LEMBAGA PENGARAH UNIVERSITI, AHLI-AHLI SENAT, PEGAWAI-PEGAWAI KANAN,
PENSYARAH-PENSYARAH, TUAN-TUAN, PUAN-PUAN, IBU-BAPA DAN RAKAN-RAKAN GRADUAN
SEKALIAN.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan
terima kasih kepada Jawatankuasa Istiadat Konvokesyen ke-19 Universiti Tun
Hussein Onn Malaysia kerana memberikan kepercayaan dan peluang kepada saya bagi
menyampaikan ucapan pada hari ni. Bersyukur kita kepada Tuhan yang Maha Esa
atas segala limpah kurnianya, majlis ini dapat disempurnakan dengan cemerlang
dan jayanya. Majlis yang penuh dengan tradisi keilmuan ini amat bermakna kepada
para graduan sekalian. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi
tahniah dan syabas kepada semua graduan yang telah menempuh jalan untuk mencari
ilmu dan berjaya menamatkan pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
SIDANG HADIRIN YANG DIHORMATI SEKALIAN
“The best way to
predict your future is to create it.” Kata-kata ini telah dihujahkan oleh Abraham Lincoln,
President Amerika Syarikat ke-16. Sebagaimana yang dimaksudkan oleh beliau,
pada hari ini kami graduan-graduan UTHM merupakan masa depan hasilan daripada
usaha yang berpanjangan selama empat tahun dalam mendapatkan segulung ijazah.
Namun, kejayaan ini tidak akan terhasil tanpa platform yang telah dibangunkan
oleh barisan intelektual UTHM yang mementingkan mutu dan kualiti program
pengajaran di universiti. UTHM, salah satu universiti teknikal yang terulung di
negara ini lengkap dari segi penyediaan kemudahan universiti yang bermanfaat
dan ikonik seperti Perpustakaan Tunku Tun Aminah yang merupakan perpustakaan
terbesar di Asia Tenggara. Selain itu, UTHM telah memberi fokus yang mendalam
dalam usaha jalinan industri dengan alumni, penerapan TVET dalam program
pengajian universiti, kerjasama dengan industri rel (teknologi kejuruteraan
pengangkutan darat) dan "key feature" UTHM iaitu perkembangan
dalam bidang penerbangan dan aeronautik. UTHM sememangnya “Technically
Above The Rest.”
RAKAN-RAKAN GRADUAN SEKALIAN
Hari ini adalah hari dimana kita meraikan
segala usaha dan kerja keras kita. Dalam perjalanan menimba ilmu yang penuh
onak-duri ini, ada yang antara kita yang diuji masalah kesihatan, kewangan, kehilangan
orang yang tersayang dan kita menghadapi cabaran demi cabaran dan juga
kegagalan demi kegagalan. Tetapi pada hari ini, kita berada di sini dengan
semangat kita yang tidak pernah putus, kecekalan dalam menghadapi apa sahaja
cabaran dan komitmen yang tidak pernah berbelah bahagi. Dengan penerimaan
ijazah kita pada hari ini yang disaksikan oleh ibu bapa, keluarga dan pensyarah
kita, saya pasti semua pengorbanan kita berbaloi. Detik-detik ini akan tersemat
di dalam hati kita selama-lamanya. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk
memanjangkan kesyukuran kepada Tuhan Yang Maha Pengasih di atas kejayaan kita
pada hari ini. Penghargaan yang teramat tinggi kepada ibu bapa, abang dan adik
saya, rakan sekelas saya dalam program Teknologi Kejuruteraan Awam (Alam
Sekitar) dan staf akademik Fakulti Teknologi Kejuruteraan yang telah banyak
menyokong, membimbing dan membantu saya sepanjang pengajian saya di UTHM.
HADIRIN SEKALIAN
Tidak akan saya lupa pada assignment dan projek yang bertimbunan
di atas meja, kuiz secara mengejut pada kuliah pertama semester, kuliah ganti
pada waktu malam dan juga rutin yang akan kami rindui iaitu bermain kejar-kejar
dengan bas di kampus. Masalah peribadi, misalnya soal-soal cinta tidak lari
daripada kisah-kisah istimewa kehidupan kita sepanjang pengajian di universiti.
Memang tidak boleh dinafikan kewujudannya. Menjadi seorang mahasiswa ini
bukanlah sesuatu yang mudah. Perjalanan ini telah mengajar kami satu perkara
yang sangat penting iaitu kemahiran menjalankan aktiviti harian dan tugasan
universiti pada masa yang sama. Dalam proses ini, kami telah membentuk
personaliti sebagai seorang mahasiswa yang terancang dan berkaliber.
RAKAN GRADUAN YANG DIRAIKAN
Di saat kita menerima skrol rasmi UTHM
ini, kita telah menggalas tanggungjawab sebagai duta UTHM 2019. Kita mempunyai
tugas untuk membangunkan institusi yang berbakti ini supaya kebolehpasaran
graduan UTHM ini dapat ditingkatkan. Gunalah segala ilmu dan kemahiran yang
diperolehi dengan sebaik-baiknya di alam pekerjaan. Tunjukkan kepada
industri bahawa kita graduan UTHM kompeten dalam menjalankan tugas. Oleh itu,
saya ingin mengajak anda semua untuk memberi sumbangan semampu yang boleh dalam
bentuk jaringan komitmen mahupun profesional untuk membantu pihak pentadbir
dalam memantapkan kualiti dan pempromosian UTHM ke peringkat seterusnya. Saya
yakin dan percaya dengan sokongan dan sumbangan kita, UTHM akan terus maju di
dalam sektor pendidikan tinggi.
HADIRIN YANG DIHORMATI SEKALIAN
Sekalung penghargaan kepada ibu bapa dan pensyarah
yang hadir bersama pada hari ini untuk menyaksikan serta meraikan pengorbanan
bersama selama menjejak kaki di UTHM. Kami graduan berjanji akan terus komited
dan cekal dalam mengharungi alam pekerjaan, dengan berbekalkan ilmu yang telah
dicurahkan kepada kami sepanjang pengajian kami di sini.
Sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada
insan-insan yang banyak berjasa ini, saya dengan segala hormatnya menjemput
rakan-rakan graduan untuk berdiri dan bersama-sama kita memberi tepukan yang
gemuruh kepada ibu bapa dan pensyarah kita.
(Tepukan)
Terima kasih rakan-rakan graduan sekalian.
Terima kasih keluarga, terima kasih
rakan-rakan, terima kasih kolej kediaman, terima kasih fakulti, terima kasih
UTHM.
HADIRIN SEKALIAN
Semoga kejayaan yang kita kecapi pada hari
ini tidak berhenti di sini. Saya berharap agar perjalanan kita yang masih jauh
ini sentiasa dipermudahkan oleh Tuhan. Saya ingin sekali lagi mengucapkan
setinggi-tinggi tahniah dan semoga berjaya kepada para graduan sekalian.
Berbaktilah kita agar seluruh persada dunia tahu betapa hebatnya produk
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia kerana bak kata Naib Canselor kita yang
tersayang, We Produce Professionals.
Kelopak terbuka sibunga tanjung,
Di tangkai satu bunga bersilih,
Tidak kulupa kupuja kusanjung,
Duhai guru kurangkum kasih.
Dengan ini, saya akhiri ucapan saya dengan
sekian terima kasih.
Comments
Post a Comment